->

Kepentingan Selawat
Kita sangat digalakkan berselawat kepada Nabi kita s.a.w. Malah ia begitu penting sehingga doa kita tidak diterima oleh Allah jika kita tidak berselawat. Perkara ini merupakan satu hakikat kerana ia disampaikan sendiri oleh Nabi Muhammad : Rujukan :
“Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi s.a.w. ” -Riwayat Ad-Dailami
Begitu sekali Allah melihat kepentingan selawat. Ini ialah kerana kebanyakan kita melakukan banyak dosa dan kemungkaran setiap hari. Lebih-lebih lagi kita yang hidup jauh daripada zaman Nabi s.a.w. Begitu lemahnya iman dan amalan Islam kita sehingga iman kita diibaratkan senipis kulit bawang dan iman kita pula diibaratkan seperti iman orang yang munafik. Memang sepatutnya sekiranya Allah tidak terima permintaan daripada orang-orang yang banyak melakukan dosa seperti kita.
Tetapi, Allah itu bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia kasihankan kita, maka Dia bagi jalan keluar.
Dia suruh kita berselawat kepada Nabi s.a.w. dahulu. Apabila kita berselawat, barulah doa kita akan didengar-Nya. Barulah ada peluang untuk ia dikabulkan pula. Kalau awal-awal lagi sudah ditolak, sudah tentu tidak ada peluang untuk diterima sama sekali.
Berselawat kepada Nabi ibarat kita dapat “recommendation” daripada baginda. Tamsilannya begini. Katakanlah kita hendak memohon sesuatu pekerjaan di sebuah syarikat. Kita tahu ramai orang lain yang bersaing dengan kita untuk mendapatkan kerja tersebut. Tetapi apabila kita jumpa pengurus dan cakap pada dia, “Saya kenal baik Encik Rustam, pembantu kanan tuan.” Pada masa yang sama pula, Encik Rustam tu “recommend” kita untuk mendapatkan pekerjaan tersebut. Maka, menjadi mudahlah untuk kita diterima untuk menjawat jawatan tersebut.
Begitulah tamsilan kita berselawat kepada Nabi s.a.w. Bila kita berselawat, nabi pun akan menjawab selawat kita. Selawat baginda kepada kita itulah doa untuk kita. Dan doa para nabi itu sangatlah makbul, lebih-lebih lagi Nabi Muhammad s.a.w. yang mendapat gelaran kekasih Allah. Ini yang dikatakan “recommendation” tadi.
Kelebihan Selawat
1. Mendapat syafaat Nabi Muhammad s.a.w.Rujukan :
“Barangsiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, dia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” -Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
Nasib kita di akhirat memang tidak pasti. Kalau dilihat pada diri kita umat akhir zaman yang banyak cacat cela dan kekurangan ini, rasa-rasanya kita adalah lebih layak untuk masuk neraka daripada masuk ke syurga. Oleh itu kita sangat memerlukan syafaat Nabi Muhammad untuk menolong kita di akhirat nanti.
Syafaat Nabi di akhirat nanti ada 5 jenis
- Syafaat Nabi untuk membebaskan ummat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar.
- Syafaat Nabi untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa hisab dan perhitungan apa pun.
- Syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumnya yang setimpal, agar dicabut hukuman itu.
- Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa, dari azab neraka.
- Syafaat untuk menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.
2. Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi s.a.w. (dengan izin Allah jua) Rujukan :
“Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. ” -Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib; Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
3. Mendapat keampunan dosa dari Allah.Rujukan :
“Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya. ” -Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim; Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
“Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun. ” -Riwayat Ad-Dailami: Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
4. Diberi pahala dari Allah s.w.t. Rujukan :
“Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku ‘Azzawajalla maka dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari ummatmu, Allah s. w. t. mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya.” -Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim; Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
5. Mendapat ketenangan jiwa Rujukan :
“Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa dan penghapus dosa) bagimu.” -Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
6. Mendapat rahmat dari Allah Rujukan :
“Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali. ” -Riwayat Muslim; Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
7. Mendapat hajat dunia dan akhirat.Rujukan :
“Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk dunia. ” -Riwayat Ibnu Majar dari Jarir r.a. ; Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
8. Digembirakan dengan syurga.Rujukan :
“Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka dia tidak akan matt sehingga dia digembirakan dengan syurga. ” -Riwayat Abus Syaikh dari Anas r.a: Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
9. Menjadi orang yang terdekat kepada Nabi s.a.w. di akhirat nanti.Rujukan :
“Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan akupada hari kiamat adalah merekayang lebih banyak berselawat kepadaku” -Riwayat An-Nasai dan Ibnu Hibban; Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
Kelebihan selawat mengikut para ulama
- Memperolehi limpah rahmat dari Allah.
- Ditulis sepuluh kebajikan.
- Dihapuskan sepuluh kesalahan.
- Diangkat sepuluh darjat.
- Memperolehi kesempurnaan iman.
- Menjauhi dari kerugian dan penyesalan.
- Tergolong sebagai orang-orang yang soleh.
- Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
- Memperoleh syafaat Nabi s.a.w.
- Memperolehi hubungan yang rapat dengan Nabi s.a.w.
- Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki.
- Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa.
- Menghapuskan dosa dan menutupkan aib.
- Terselamat dari kebingungan di hari kiamat.
- Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu (orang miskin pun boleh dapat pahala sedekah)
- Terhindar dari kefakiran.
- Dipandang sebagai orang yang mencintai Nabi Muhammad s.a.w.
- Memperolehi keberkatan dalam hidup.
- Terhindar dari orang-orang bakhil.
- Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah s.w.t.
- Memudahkan jalan bagi memasuki syurga.
- Menjadi zakat dan pembersih diri.
- Memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat.
- Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan langit.
- Memenuhi hak Nabi sebagai suatu tugas ibadah.
- Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati.
- Tergolong dalam orang-orang yang tidak melupai Nabi Muhammad s.a.w.
- Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari di Padang Mahsyar.
- Dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti Titian Siratul Mustaqim di akhirat.
- Terkabul segala hajat dan cita-cita.
Gelaran orang yang tidak berselawat
i) Gelaran penghinaan.Rujukan :
“Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku. ” -Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
ii) Gelaran bakhil (kedekut)Rujukan :
“Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. ” -Sabda Nabi Muhammad s.a.w.
Secara ringkas Kelebihan Membaca Selawat adalah:
- Para Malaikat akan berselawat pula ke atas pembaca selawat itu dan Allah akan menurunkan rahmatNya.
- Allah akan mengurniakan kekayaan seumur hidupnya mereka yang berselawat 500 kali sehari, insya Allah akan memperoleh kemenangan dan keselamatan selamanya.
- Akan terhapus sifat marah dan terjauh dari bala bencana menjadi kekasih kepada kekasih Allah.
- Terhindar daripada mengalami kesukaran untuk mencapai sesuatu yang dihajati. Mendapat rezeki yang berkat, berhasil hajatnya dan terlindung daripada bala bencana.
- Mendapat syafaat di dunia dan di akhirat.
- Allah akan menggandakan limpah kurnia serta Rahmat kepadaNya orang tersebut.
- Akan beroleh syafaat kepada Rasulullah padahari kiamat kelak.
- Satu kali selawat yang dibacakan, Allah akan membacakan untuknya sebanyak sepuluh kali.
- Dapat membersihkan hati, jiwa dan roh kotor yang berselaput di dalam dada.
- Membuktikan kecintaan dan kasih sayang kita terhadap Rasulullah SAW.
- Mewariskan kecintaan Rasulullah SAW pada umatnya.
- Memantapkan iman di dalam dada.
- Malaikat juga akan membaca selawat ke atas orang yang membaca selawat untuk Rasulullah SAW.
- Seseorang itu akan terpelihara dan terselamat dari segala apa yang mendukacitakan atau yang merbahaya dari hal-hal keduniaan mahupun akhirat.
- Kedudukannya di akhirat kelak ia sentiasa hampir di sisi Rasulullah SAW walau di mana saja baginda berada.
Wallahua’lam
via: http://wapedia.mobi/ms/
Technorati Tags: kelebihan, keistimewaan, membaca, selawat, selawat nabi muhammad, cinta rasul, keagamaan, islam, ilmu islam, junjungan nabi muhammad
Popularity: 2% [?]











No comments yet.