Melahirkan Anak Genius
0 Comments Published by October 21st, 2011 in Info and news, Keagamaan, Learn, Malay, Tips.
->

PEMILIHAN BENIH GENIUS
Kelahiran anak genius perlu dirancang. Walaupun kemampuan dan ketinggian akal fikiran merupakan sesuatu yang memang telah ditentukan oleh Allah, tetapi berusaha untuk mendapatkannya, tidak salah.
Langkah inilah yang telah diambil oleh para Rasul dan Nabi pada zaman dahulu. Usaha mereka bermula lebih awal lagi, iaitu sebelum perkahwinan dijalankan.
Rasulullah SAW telah menunjukkan panduan asas untuk mendapatkan anak genius.
Baginda bersabda, maksudnya ; ”Pilihlah tempat yang baik untuk air mani kamu [keturunan kamu]sesungguhnya urat itu [keturunan] mempengaruhi.” (Ibnu Majah dan Ad Dailami)
Dalam riwayat Rasulullah SAW bersabda lagi ; maksudnya : “Carilah tempat yang sesuai (isteri) untuk air mani kamu , sebab sesungguhnya wanita-wanita itu melahirkan orang-orang yang menyerupai saudara lelaki mereka dan saudara perempuan mereka.” (Ibnu ‘Ady dan Ibnu Asakir)
Maksud hadis di atas menjelaskan bahawa keturunan sedikit sebanyak biasanya dipengaruhi oleh pihak ibu. Oleh sebab itu dalam perkahwinan, diberatkan pemilihan dibuat di pihak isteri dari segala sudut. Banyak sekali hadis-hadis yang membicarakan tentang sifat-sifat wanita yang patut dijadikan pasangan untuk menjamin zuriat yang baik.
Jarang bahkan kurang hadis membicarakan tentang sifat-sifat kaum lelaki yang dijadikan pilihan untuk melahirkan zuriat yang baik (anak genius).
Selain daripada pengaruh keturunan, wanita di antara golongan yang rapat hubungan dengan anak-anak. Oleh sebab itu betapa mereka amat ditekankan agar dipilih daripada keturunan yang baik (beragama).
Selain daripada keturunan, Rasulullah SAW juga menggalakkan para sahabat berkahwin dengan pasangan yang jauh atau yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.
Perkahwinan campur sering terjadi di zaman Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri berkahwin dengan Safiyah, wanita keturunan Yahudi dan Mariah keturunan Qibti.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Pilihlah yang jauh dan jangan pilih kerabat yang dekat.” (Tarbiyyatul Aulad)
Selain daripada itu, Islam juga telah mengariskan adab-adab sebelum dan semasa melakukan perhubungan jenis dalam usaha mendapatkan anak yang soleh dan genius. Ibu bapa perlu membaca doa sebelum bersetubuh supaya anak yang bakal dilahirkan selamat daripada gangguan syaitan. Antara adab-adab yang lain, jangan bersetubuh sewaktu badan terlalu letih atau kenyang, mendahului persetubuhan dengan cumbu rayu (untuk menjamin kepuasan) dan lain-lain perkara yang boleh diketahui dengan membaca kitab-kitab karangan ulama-ulama muktabar zaman dahulu.
Hal ini membuktikan betapa seriusnya Islam merancang menyediakan panduan dan membimbing umatnya untuk mendapat zuriat yang baik. Hasil daripada jalan inilah, generasi salafussoleh dapat melahirkan ulama seperti Imam Shafie yang hafaz Al-Quran ketika berumur 9 tahun, hafaz ribuan hadis dan syair serta kitab-kitab besar seperti Al Muwatak. Ilmu yang dimiliki oleh ulama-ulama zaman itu lebih luas daripada apa yang dimiliki oleh ulama-ulama zaman ini. Pengetahuan mereka merangkumi ilmu dunia dan akhirat.
Imam Ghazali misalnya, bukan sahaja pakar dalam bidang agama tetapi pakar juga dalam bidang falsafah, astronomi, ekonomi dan lain-lain.
Jumlah umat Islam di dunia hari ini lebih 1,000 juta (hampir seperempat penduduk dunia). Dengan bilangan seramai itu, tentu ada anak-anak yang mempunyai akal bertaraf genius. Mereka itu mesti dicari dan diberi kemudahan secukupnya untuk menjamin pertumbuhan akal yang sedia baik itu, agar terus berkembang sehingga dewasa. Didikan dan ilmu mesti diberikan secara rapi dan bersungguh-sungguh. Pusat-pusat penempatan dan persekolahan khusus mesti didirikan untuk memberi bantuan dari segi material jika mereka daripada anak-anak yang miskin. Masyarakat Islam mesti menghargai benih-benih genius ini justeru merekalah harapan kepada kebangkitan ummah Islam pd masa akan datang.
Selama ini kita kurang menghargai anak-anak genius. Kita tidak peka kepada soal yang penting ini. Akibatnya, anak orang Islam sendiri telah disambar oleh musuh-musuh Islam dan dilatih untuk menjahanamkan Islam.
Sukarno, adalah anak genius Islam yang berjaya dilatih oleh Belanda untuk menghancurkan ajaran Islam. Idea NASAKOM-nya ternyata menyeleweng daripada kehendak-kehendak Islam. Islam tidak pernah dan tidak mungkin berkompromi dengan komunis atau nasionalis.
Begitu juga yang terjadi kepada Babrak Karmal, anak didik Rusia, musuh utama mujahiddin Afghanistan sekarang [semasa buku ditulis*].
Di bidang penulisan pula, musuh-musuh Islam telah dapat menyiapkan Hussien Heikal dan Naquib Mahfouz sebagai mata tombak untuk menikam Islam melalui mata pena. Mengapa ini berlaku? Sebab utamanya ialah umat Islam tidak belajar menghargai bibit-bibit genius yang tumbuh di dalam masyarakat mereka sendiri. Dan kesempatan ini telah diragut oleh musuh-musuh Islam. Akibatnya anak-anak genius Islam telah diperalatkan untuk menghancurkan Islam.

GENIUS DALAM ISLAM
Islam sebenarnya kaya dengan jalan-jalan untuk melahirkan anak-anak genius. Kita tidak perlu meminjam kaedah-kaedah orang bukan Islam untuk mewujudkan generasi muda yang bijak, tegas dan berani. Genius atau tidaknya seseorang bukan diukur oleh kacamata pendidikan sekular. Sijil dan anugerah keintelektualan bukan bererti pemiliknya seorang yang genius.
Menurut Islam, seorang yang genius ialah mereka yang mempunyai kemampuan akal yang luar biasa ke arah merancang, menyusun strategi dan bertindak tepat untuk menegakkan Islam, demi keselamatan hidup di dunia dan di akhirat. Genius Islam ialah orang yang dapat kekuatan akal hasil mengingati mati untuk lebih gigih berjuang dalam hidup.
Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Orang yang paling cerdik ialah orang yang banyak mengingati mati dan bersedia dengan bekalan untuk hari selepas mati.” (Ibnu Majah dan Ibnu Abi Dunya)
Itulah dua rahsia kekuatan Islam, iaitu mengingati mati dan berusaha membuat persediaan untuk hari selepas mati. Orang yang sentiasa mengingati mati ia akan dinamik dan berusaha melahirkan kemajuan dan tamadun untuk dipungutnya pahala di akhirat. Kerana ia yakin dan faham, dunia adalah tempat menanam sebanyak-banyak, sementara hasilnya akan dipungut di akhirat. Siapa yang menanam sedikit atau yang menanam yang tidak baik ia akan kerugian di akhirat.
Itulah anak generasi dan tokoh genius Islam mereka yang jiwanya penuh dengan keimanan dan akalnya bercahaya dengan suluhan wahyu dan anggotanya gagah dalam menegakkan “Kalimatullah”. Kita sesungguhnya menunggu anak-anak genius yang mempunyai sifat-sifat itu bagi menyambung perjuangan yang ditinggalkan oleh generasi salafussoleh dahulu.
Ketahuilah anak genius tidak akan lahir begitu sahaja, tapi ia lahir dengan perancangan sejak permulaan perkahwinan, ketika mengandung, setelah lahir dan membesar hinggalah dewasa. Dalam masa itu mereka perlu melalui proses pendidikan terus menerus secara Islam tanpa dicelah dan diganggu oleh elemen-elemen yang membantutkan perkembangan dan pertumbuhan genius dan akhlak mulia.
Firman Allah, maksudnya :
“Ya Allah kurniakanlah kami daripada isteri kami dan keturunan kami cahaya mata dan jadikanlah kami
pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”(Surah Al Furqan ayat 74)
Kongsikan kepada teman-teman anda. Agar ia bermanfaat.
Sumber: Bagaimana Melahirkan Generasi Genius Berakhlak Mulia, Abu Tolhatul Khair AsSiddiq, Pustaka Al Irshad, Februari 1995
via: halaqah
Technorati Tags: anak, genius, benih, air mani, isteri, mencari isteri, cinta, suami, keluarga, harmoni, kebahgiaan
Popularity: 1% [?]











No comments yet.